Bentuk Fizikal Rasulullah

Dalam satu riwayat yang bersumberkan Ali bin Abi Thalib k.w. dikemukakan: "Rasulullah tidak berperawakan terlalu tinggi dan tidak pula terlalu pendek. Beliau berperawakan sederhana di antara kaumnya. Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak pula lurus kaku, melainkan ikal bergelombang. Badannya tidak gemuk, dagunya tidak lancip dan wajahnya agak bundar. Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Bahunya bidang. Beliau memiliki bulu lebat yang memanjang dari dada sampai ke pusat. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal. Bila beliau berjalan, berjalan dengan tegap seakan-akan beliau turun ke tempat yang rendah. Bila beliau berpaling, maka seluruh badannya ikut berpaling. Di antara kedua bahunya terdapat Khatamun Nubuwwah, iaitu tanda kenabian. Beliau memiliki hati yang pemurah di antara manusia. Ucapannya merupakan perkataan yang paling benar di antara semua orang. Perangainya amat lembut dan beliau paling ramah dalam pergaulan. Barangsiapa yang melihatnya, pastilah akan menaruh hormat padanya. Dan barangsiapa yang pernah berkumpul dengannya, kemudian kenal padanya, tentulah ia akan mencintainya. Orang yang menceritakan sifatnya, pastilah akan berkata: "Belum pernah aku melihat sebelum dan sesudahnya orang yang seistimewa beliau S.A.W."(1).

1) Diriwayatkan oleh Ahmad bin 'Ubadah ad-Dlabi al-Bashri, juga diriwayatkan oleh Ali bin Hujr dan Abu Ja'afar Muhammad bin al-Hussein dari Isa bin Yunus dari 'Umar bin Abdullah dari Ibrahim bin Muhammad dari salah seorang putera Ali bin Abi Thalib k.w. yang bersumber dari Ali bin Abi Thalib.



Hadis di atas disokong oleh hadis yang berbunyi:


Dalam satu riwayat yang bersumber dari Hassan bin Ali r.a. dikemukakan; bahawa ia pernah bertanya kepada pak ciknya yang bernama Hind bin Abi Halah(2) tentang sifat Nabi S.A.W. Hind menjawab: "Rasulullah S.A.W. adalah seorang yang berjiwa besar dan berwibawa. Wajahnya cerah bagaikan rembulan di malam purnama. Beliau lebih tinggi dari orang yang rendah dan lebih rendah dari orang yang tinggi. Beliau berjiwa pelindung. Rambutnya bergelombang. Apabila beliau menyisir rambut (rambutnya, maka dibelahnya menjadi dua. Bila tidak, maka hujung rambutnya tidak melampaui daun telinga. Rambutnya disisir dengan rapi, sehingga tampak selalu bersih. Dahinya lebar, alisnya melengkung bagaikan dua bulan sabit yang terpisah. Di antara keduanya terdapat urat yang tampak kemerah-merahan apabila marah. Hidungnya mancung, di puncaknya ada cahaya yang memancar sehingga orang yang tidak mengamatinya akan mengira puncak hidungnya lebih mancung. Janggutnya tebal, kedua pipinya mulus, mulutnya lebar (serasi dengan bentuk wajahnya), giginya agak jarang teratur rapi, bulu dadanya halus, lehernya mulus dan tegak bagaikan leher kendi. Bentuk tubuhnya sedang-sedang sahaja, badannya berisi, perut dan dadanya sejajar, dadanya bidang, jarak antara kedua bahunya lebar dan tulang persendiannya besar. Badannya yang tidak ditumbuhi rambut nampak bersih bercahaya. Dari pangkal leher sampai ke pusat tumbuh bulu yang tebal bagaikan garis. Kedua susu dan perutnya bersih selain yang disebutkan tadi. Kedua hasta, bahu dan dada bahagian atas berbulu halus. Kedua ruas tangannya panjang, telapak tangannya lebar. Kedua telapak tangan dan kakinya tebal, jari-jemarinya panjang, lekukan telapak kakinya tidak menempel ke tanah. Kedua kakinya licin sehingga air pun tidak menempel. Bila baginda berjalan, diangkat kakinya dengan tegap. Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan sopan. Jalannya cepat, seakan baginda turun ke tempat yang rendah. Bila baginda menoleh seseorang, maka baginda memalingkan seluruh tubuh badannya. Pandangan matanya terarah ke bawah, hingga pandangannya ke bumi lebih lama dari pandangannya ke langit. Pandangannya penuh makna. Bila ada sahabat berjalan, maka baginda berjalan di belakangnya dan bila berselisih, maka beliau menyapanya dengan salam"(3).

2) Hind bin Abi Halah ialah putera Khadijah (anak tiri Rasulullah S.A.W.) dari suaminya yang terdahulu, Abu Halah. Ia termasuk orang yang banyak menceritakan sifat Rasulullah S.A.W.

3) Diriwayatkan oleh Sufyan bin Waki' dari Jami' bin 'Umair bin 'Abdurrahman al-'Ajali dari warga Bani Tamim bernama Aba 'Abdullah dari Hind putera Abi Halah yang bersumber dari Hassan bin Ali r.a.)

____________________________________________________________________

*Sumber:

* Buku: As-Syamail Muhammadiah
* Karya: Imam At-Tirmidz (Abu 'Isa Muhammad bin 'Isa bin Saurah)
* Alih Bahasa: Drs. M. Tarsyi Hawi

Haram bermain mercun (?)



Di antara 5 maqasid syariyyah ialah menjaga nyawa dan harta. Meskipun hukum bermain mercun pada asalnya adalah harus kerana tiada dalil yang secara langsung mengharamkannya. Namun jika diperhatikan, bermain mercun ini boleh menyebabkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti berlaku kematian, kecacatan dan sebagainya lagi. Jadi ia sudah tentu dilarang oleh Islam kerana tidak selari dengan tuntutan tujuan-tujuan syariah (maqasid syariyah).

Selain itu juga ia telah dilarang dan diharamkan oleh pihak kerajaan. Apa-apa undang-undang yang diwartakan oleh pihak pemerintah selagimana ia tidak melanggari tuntutan syarak maka syarak mengiktirafnya.

Secara ringkasnya, antara sebab-sebab yang menjadikan bermain mercun dalam kategori haram adalah :-


1) Mendatangkan Mudarat Kepada Diri

Ini tidak perlu lagi dihuraikan, cukup laporan akhbar sebagai fakta dan gambar2 di bawah ini








2) Mudarat Orang Lain

Ia seringkali mengganggu masyarakat awam sekeliling dengan kebisingan bunyinya (pencemaran bunyi), gangguan kepada jiran tetangga, anak kecil yang hendak tidur, selain bahaya letupan dan kebakaran yang mungkin berlaku.
Ada kalanya masuk saja pukul 12 malam, di masa itulah mereka meletupkan mercun yang kuat. Jelas tujuannya untuk menganggu orang yang hendak atau yang sedang tidur. Maka jelaslah ia termasuk dalam perkara atau perbuatan yang diharamkan.

Tahap pengharamannya lebih dahsyat apabila ia diletupkan di tepi-tepi surau dan masjid tatkala ahli jemaah sedang menunaikan solat. Ketika ibu-bapa sedang sibuk mengerjakan sembahyang terawih di masjid/surau, ketika inilah anak-anak kecil/remaja bermain mercun diluar pengetahuan mereka.

Demikian juga apabila ia ditujukan ke arah rumah atau individu tertentu dengan niat ingin berseronok-seronok. Ini boleh dianggap persamaan dengan cubaan membunuh, kerana letupan api itu boleh menyebabkan sebuah rumah terbakar atau seseorang kanak-kanak atau bayi hilang nyawanya.

Nabi s.a.w bersabda :
Ertinya : Barangsiapa yang membawa mudarat, maka Allah akan memudaratkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkannya pula”
(Riwayat Abu Daud, no 3635, 3/315; Ahmad, 3/453 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ; Syeikh Syuaib, Hasan Bi Syawahidi)

Terdapat kisah yang disiar oleh akbar tahun lepas, bagaimana mercun masuk ke dalam buaian seorang bayi. Juga kisah ini dimana “Ibu Syafiq, Saripah, 43, berkata, anaknya sedang mengangkat kain di kawasan jemuran asrama kira-kira pukul 6 petang apabila sebiji mercun bola dilemparkan ke arahnya yang terkena di bahagian bawah mata kiri menyebabkan matanya cedera”.


3) Pembaziran

Bermain mercun adalah satu pembaziran kerana wang yang digunakan dikira dibakar begitu sahaja untuk menikmati bunyi letupan yang tiada membawa satu faedahpun.
Allah s.w.t mengurniakan kita harta untuk dibelajakan sebaik mungkin dan bukan untuk mengikut hawa nafsu atas alasan kemeriahan lalu membeli pelbagai jenis mercun. Islam inginkan kita menjadi orang yang mampu mengurus kewangan dengan bijak di bulan Ramadhan. Malah inginkan kita memperbanyakkan sedekah terutama di akhir Ramadhan. Bukannya membeli mercun yang haram hukumnya.

Sebagai kesimpulan, ibu bapa yang membelikan mercun ini tidak terlepas dari dosa pada pandangan Islam. Mereka sepatutnya bersifat tegas dalam hal ini melarang sebarang penglibatan anak-anaknya terutamanya jika mereka terjebak dalam membuat mercun sendiri seperti mercun buluh dan lain-lain. Isu ini sangat jelas sekali.

Namun saya percaya, kepada para penggemar mercun, seribu satu dalil akan dicari dan diberikan utk menghalalkannya...sama juga dgn hukum merokok..namun sbg umat Islam yang inginkan hidup dalam penuh ketenangan dan keharmonian, maka fikir-fikirkanlah...