
Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2011, Wee Soo Yen (dua dari kanan)bersama keluarga, dari kiri, Wee Soo May (adik), Wee Hock Lim (ayah) and dan Soo Ah Khem (ibu)
Pelajar tingkatan empat, Sekolah  Menengah Kebangsaan  Bachok, Kelantan, Wee Soon Yen, 16,  memberitahu dia tidak menyangka akan  dipilih sebagai penerima anugerah  pada sambutan tahun ini. 
Pelajar cilik tersebut dipilih  berdasarkan pencapaian akademiknya  yang cemerlang, iaitu memperoleh 8A  dalam peperiksaan Penilaian Menengah  Rendah (PMR) tahun 2010.
Selain itu, Wee juga  merupakan satu-satunya pelajar bukan Islam yang mendapat A dalam mata  pelajaran Bahasa Arab.
Menurut Wee, minat untuk mempelajari  Bahasa Arab mula timbul apabila dia memulakan sesi persekolahan  menengah.
“Saya mula berminat untuk mempelajarinya   kerana ia merupakan satu  bahasa baru kepada saya. Jadi saya  menganggapnya sebagai satu cabaran  untuk diri sendiri,” katanya.
Wee  menambah, pada peringkat awal, ibunya tidak begitu menyokong  tindakannya untuk mempelajari bahasa tersebut.
“Bagaimanapun,  saya berjanji kepadanya bahawa saya akan lulus subjek  Bahasa Arab dan  sejak itu, beliau membenarkan saya untuk menduduki  peperiksaan Bahasa  Arab,” katanya.
Pelajar bertubuh kecil itu juga  memberitahu, dia akan memanfaatkan  seluruh masa di sekolah bertanyakan  kepada guru dan rakan-rakan jika  mempunyai masalah kerana tidak  mempunyai tempat rujukan di rumah.
Selain Wee, turut  menerima anugerah pada sambutan tahun ini ialah  Bekas Timbalan Ketua  Pengarah (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral)  Kementerian Pelajaran  Malaysia, Datuk Dangiran Mustapha yang juga  merupakan Timbalan  Pengerusi, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran  Malaysia.


0 Pandangan:
Catat Ulasan