Mana Hudud sebenar? Tunjukkan...

WarkahDaily – Amatlah malu sebuah badan dakwah Islam yang sudah tentu amat arif tentang selok-belok agama Islam dan boleh dikatakan pakar berkaitan Islam, tetapi apa yang realitinya, mereka ini seolah-olah sudah tertawan dengan sedikit habuan dunia yang sudah diberi amaran oleh Allah di dalam Al-Quran tentang orang yang sanggup menukar agama Allah dengan sedikit habuan dunia.

Kerana pangkat dan kedudukan, mereka ini sanggup menidakkan apa yang telah diturunkan oleh Allah dengan erti kata yang lain, cuba mencari helah untuk mengubah apa yang sudah ditentukan Allah, semata-mata mahu mengambil hati (ampu) para pemimpin yang terdiri dari kalangan yang jahil bab agama.



Beberapa hari yang lepas, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Aziz Jamaluddin Mhd Tahir (gambar) telah menyatakan, masyarakat Islam hanya membantah hukum Hudud ciptaan mereka yang gila kuasa memerintah dan bukannya ‘menentang hukum hudud yang sebenar.’

Kenapa baru sekarang Aziz mendakwa sedemikian? Apakah beliau baru sahaja tamat belajar atau baru sahaja kenal tentang Islam dan selok belok hukum-hukum Allah? Di mana Yadim sebelum ini, ketika kerajaan Kelantan membuat draf Hudud sejak 20 tahun dahulu?

Kenapa tidak disebut atau memberi nasihat kepada kerajaan Kelantan ketika itu supaya membuat draf Hudud berdasarkan ‘Hudud yang sebenar’ seperti yang didakwa oleh Aziz?

Apakah selama ini, Yadim sekadar makan gaji buta, sekadar goyang kaki tunggu gaji bulanan masuk akaun tanpa mempedulikan masalah umat ketika itu. Padahal ketika itu, Hudud begitu popular diperbincangkan sehingga ada yang ingin menyaman kerajaan Kelantan kerana Hudud, ada yang memperlekeh Hudud, ada yang mahu ambil tindakan terhadap Kelantan jika laksana Hudud.

Kenapa Yadim tidak pula timbulkan ‘Hudud sebenar’ yang didakwa Aziz tu ketika ramai sedang membincangkan pasal Hudud sedikit masa dulu. Kenapa perlu tunggu hari ini? Dah berapa ramai dah manusia yang mengaku Islam yang sudah memperlekeh, mempermain dan mempersenda hukum Allah itu kerana lembabnya Yadim.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Aziz itu kerana seolah-olah beliau cuba menuduh PAS yang mencipta Hudud, bukannya ia datang daripada hukum Islam.

Dipetik dari Harakahdaily, DPPM mencabar Aziz untuk membuktikan Hudud yang sebenar seperti yang didakwa.

“Jika demikian, DPPM mencabar Aziz untuk membuktikan apakah Hudud yang sebenarnya,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor sebagai respons kepada kenyataan Aziz.

DPPM juga, ujarnya mempersoalkan di manakah bahagian dalam hukuman Hudud yang direka oleh PAS dan di bahagian manakah yang datangnya dari perintah Allah SWT.

“Jika PAS memperjuangkan Hudud untuk kepentingan politik semata-mata, mengapa tidak ada pihak lain seperti Umno memperjuangkan syariat Islam yang sebenar-benarnya?” tanya Riduan.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Yadim sendiri tidak turut menyuarakan pentingnya Hudud serta syariat Islam dalam menyelesaikan masalah sosial dalam negara.

Katanya, Aziz Jamaluddin perlu ingat bahawa Hudud adalah syariat Islam yang telah lama termaktub dalam al-Quran dan Hadis.

PAS, jelasnya hanya membawa kembali syariat Islam yang telah dilaksanakan di zaman Rasulullah SAW ke zaman ini.

Tambahnya, umat Islam di zaman sekarang telah lama melupai bahawa Hudud serta syariat Islam pernah dilaksanakan dan Hudud adalah penyelesaian terhadap masalah sosial yang berlaku sekarang.
Sepatutnya, kata Riduan Yadim sebagai organisasi dakwah perlu menerangkan kepada umat Islam tentang syariat Islam yang sebenar.

Menurutnya, umat Islam tidak harus dibiarkan dalam keadaan jahil terhadap syariat agamanya.

“Yadim tidak harus berdiam diri dalam isu ini, sebaliknya perlu membela golongan yang mahu melaksanakannya. Berdosa besar hukumnya bagi sesiapa yang menolak hukum Allah dilaksanakan, apatah lagi bagi mereka yang berilmu seperti YDP Yadim,” katanya.

Justeru, ujarnya DPPM mengingatkan Aziz agar berhati-hati dalam mengeluarkan ucapan.
Menurutnya, menuduh PAS sebagai parti yang ‘gilakan kuasa memerintah’ dengan bahasa kiasan boleh mengguris ribuan penyokong PAS yang ramainya terdiri daripada golongan alim ulama.

“PAS sanggup hilang kuasa demi Islam, sanggup kalah juga demi islam, tetapi PAS tidak sanggup menggadaikan Islam demi kepentingan politik sempit bagi meraih kemenangan dunia yang seketika!” tegasnya.

Bagi Yadim sebagai badan dakwah, amatlah malang mempunyai seorang ketua yang begitu kontra dan jijik dengan hukum Islam.

0 Pandangan: