Malaun Harami


GURU BUAS ROGOL ANAK MURID DIJEL 12 TAHUN

myMetro
KOTA BHARU : "Seharusnya seorang guru menunjukkan teladan baik kepada anak murid tetapi berbeza dengan tertuduh hari ini kerana mengambil kesempatan terhadap mangsa berusia 12 tahun yang naif dalam hal seksual," kata Hakim Zainal L Salleh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Zainal berkata demikian sejurus menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap seorang guru sebuah sekolah rendah di Tanah Merah selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol anak muridnya berusia 12 tahun pada 2006.
BERSALAH... Mohd Saidi selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan, semalam.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun bagi tuduhan pertama iaitu merogol anak muridnya berusia 12 tahun sebulan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas, Kampung Bukit Merah, pada tengah hari, 5 Ogos 2006. Bagi tuduhan kedua, dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan kerana merogol mangsa sama dalam kejadian di sebuah resort pada pagi 8 September 2006.

Tertuduh, Mohd Saidi Che Tengah, 45, yang mempunyai lapan anak didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Tertuduh yang berpengalaman mengajar lebih 20 tahun bagaimanapun bernasib baik kerana hukuman penjara itu berjalan serentak bermula semalam.

Selain itu dia juga bernasib baik kerana mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dikemukakan peguamnya, Aminuddin Ahmad dan Muhammad Hasif Hassan hingga rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi. Dalam penghakimannya, Zainal mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pembelaan tertuduh hanya penafian semata-mata. Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.