Di antara 5 maqasid syariyyah ialah menjaga nyawa dan harta. Meskipun hukum bermain mercun pada asalnya adalah harus kerana tiada dalil yang secara langsung mengharamkannya. Namun jika diperhatikan, bermain mercun ini boleh menyebabkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti berlaku kematian, kecacatan dan sebagainya lagi. Jadi ia sudah tentu dilarang oleh Islam kerana tidak selari dengan tuntutan tujuan-tujuan syariah (maqasid syariyah).
Selain itu juga ia telah dilarang dan diharamkan oleh pihak kerajaan. Apa-apa undang-undang yang diwartakan oleh pihak pemerintah selagimana ia tidak melanggari tuntutan syarak maka syarak mengiktirafnya.
Secara ringkasnya, antara sebab-sebab yang menjadikan bermain mercun dalam kategori haram adalah :-
1) Mendatangkan Mudarat Kepada Diri
Ini tidak perlu lagi dihuraikan, cukup laporan akhbar sebagai fakta dan gambar2 di bawah ini
2) Mudarat Orang Lain
Ia seringkali mengganggu masyarakat awam sekeliling dengan kebisingan bunyinya (pencemaran bunyi), gangguan kepada jiran tetangga, anak kecil yang hendak tidur, selain bahaya letupan dan kebakaran yang mungkin berlaku.
Ada kalanya masuk saja pukul 12 malam, di masa itulah mereka meletupkan mercun yang kuat. Jelas tujuannya untuk menganggu orang yang hendak atau yang sedang tidur. Maka jelaslah ia termasuk dalam perkara atau perbuatan yang diharamkan.
Tahap pengharamannya lebih dahsyat apabila ia diletupkan di tepi-tepi surau dan masjid tatkala ahli jemaah sedang menunaikan solat. Ketika ibu-bapa sedang sibuk mengerjakan sembahyang terawih di masjid/surau, ketika inilah anak-anak kecil/remaja bermain mercun diluar pengetahuan mereka.
Demikian juga apabila ia ditujukan ke arah rumah atau individu tertentu dengan niat ingin berseronok-seronok. Ini boleh dianggap persamaan dengan cubaan membunuh, kerana letupan api itu boleh menyebabkan sebuah rumah terbakar atau seseorang kanak-kanak atau bayi hilang nyawanya.
Nabi s.a.w bersabda :
Ertinya : Barangsiapa yang membawa mudarat, maka Allah akan memudaratkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkannya pula”
(Riwayat Abu Daud, no 3635, 3/315; Ahmad, 3/453 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ; Syeikh Syuaib, Hasan Bi Syawahidi)
Terdapat kisah yang disiar oleh akbar tahun lepas, bagaimana mercun masuk ke dalam buaian seorang bayi. Juga kisah ini dimana “Ibu Syafiq, Saripah, 43, berkata, anaknya sedang mengangkat kain di kawasan jemuran asrama kira-kira pukul 6 petang apabila sebiji mercun bola dilemparkan ke arahnya yang terkena di bahagian bawah mata kiri menyebabkan matanya cedera”.
3) Pembaziran
Bermain mercun adalah satu pembaziran kerana wang yang digunakan dikira dibakar begitu sahaja untuk menikmati bunyi letupan yang tiada membawa satu faedahpun.
Allah s.w.t mengurniakan kita harta untuk dibelajakan sebaik mungkin dan bukan untuk mengikut hawa nafsu atas alasan kemeriahan lalu membeli pelbagai jenis mercun. Islam inginkan kita menjadi orang yang mampu mengurus kewangan dengan bijak di bulan Ramadhan. Malah inginkan kita memperbanyakkan sedekah terutama di akhir Ramadhan. Bukannya membeli mercun yang haram hukumnya.
Sebagai kesimpulan, ibu bapa yang membelikan mercun ini tidak terlepas dari dosa pada pandangan Islam. Mereka sepatutnya bersifat tegas dalam hal ini melarang sebarang penglibatan anak-anaknya terutamanya jika mereka terjebak dalam membuat mercun sendiri seperti mercun buluh dan lain-lain. Isu ini sangat jelas sekali.
Namun saya percaya, kepada para penggemar mercun, seribu satu dalil akan dicari dan diberikan utk menghalalkannya...sama juga dgn hukum merokok..namun sbg umat Islam yang inginkan hidup dalam penuh ketenangan dan keharmonian, maka fikir-fikirkanlah...
Jejak Fakir Di Petra Jaya
7 tahun yang lalu
0 Pandangan:
Catat Ulasan