Fikiran yang mengharukan Umno


  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 8:13AM Sep 28 2012
 
KOLUM Ada yang bertanya mengapa saya sering mengkritik aliran yang saya sifatkan literal yang dipegang oleh beberapa orang agamawan muda dalam Umno?

Saya kata bahawa saya tidak kisah untuk sesiapa menjadi ulama tua ataupun muda kepada mana-mana parti selagi berpegang kepada prinsip agama ini.

Umno dan PAS, semuanya sahabat saya. Prinsip agama itu lurus, fatwa agama tidak boleh berpihak. Hal ini terpakai untuk bukan sahaja untuk Umno, tetapi untuk PAS juga.

PAS pun dalam sejarahnya bukan tiada fatwa yang berbahaya termasuk yang boleh membawa kepada kafir mengkafir. Hari ini nampaknya keadaan itu sudah berkurangan.

Sebenarnya, aliran literal itu sendiri jika kena pada tempatnya tidak salah. Mazhab Zahiri (literalisme) walau dikritik hebat, ia diiktiraf dalam fikah Islam.

Tokoh besar Zahiri iaitu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi dan kitabnya al-Muhalla menjadi rujukan fekah yang penting.

Literalis dalam Umno harukan proses keadilan

Saya mengkritik golongan literalis dalam Umno kerana pemikiran yang dibawa itu boleh mengharukan proses keadilan yang wujud dalam negara ini keseluruhannya.

Hari ini mungkin sesetengah orang Umno seronok apabila terdapat beberapa orang agama yang boleh berhujah dengan nas-nas agama untuk membela Umno. Biasanya perkara ini dibuat oleh PAS.

Namun tanpa mereka sedar fatwa-fatwa aliran literalis tersebut jika diaplikasi dalam sistem politik negara ini, ia akan meruntuhkan keseimbangan, kemaslahatan dan keadilan politik yang menjadi tonggak kepada tujuan berpolitik.

Umpamanya, apabila mereka berfatwa haram mengkritik kepimpinan politik negara secara terbuka. Hanya yang dibenarkan berjumpa dan menasihati secara tertutup.

Pengharaman ini jika diterima bererti sistem Parlimen yang membolehkan ahli-ahlinya Parlimen membahas dan mengkritik dasar dan perlaksanaan kerajaan secara terbuka kepada pengetahuan awam adalah haram.

Perhimpunan Agung Umno yang sering kali kita mendengar para perwakilan meluahkan perkara-perkara yang mereka tidak puas hati tentang kerajaan juga haram.

Golongan literalis ini mungkin berfikir bahawa hukum yang mereka keluar boleh digunakan untuk menentang pihak pembangkang, tetapi mereka lupa implikasinya meruntuhkan sistem negara dan parti itu sendiri.

Bahkan dalam sejarah Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan mantan perdana menteri dan presiden Umno sendiri apabila tidak puas hati dengan kepimpinan penggantinya Tun Abdullah Badawi, melakukan kritikan terbuka.

Kebanyakan tokoh Umno yang ada, pernah melakukan hal yang sama apabila mereka berbeza ‘kem politik’. Bahkan Umno dan ulama muda itu sendiri mengkritik terbuka kepimpinan kerajaan Kelantan, Selangor dan Kedah.

Malang sekali jika golongan ini hanya terfikir fatwa berkenaan terkena pembangkang sahaja, padahal ia juga terkena kepada ‘tubuh sendiri’. Tentu mereka tidak akan kata “haram untuk kau, halal untuk aku”.

Ilmu matan hadis


Saya tidak mahu kata golongan ini berniat memperalatkan agama. Saya rasa sebab hal ini terjadi kerana cara fikir yang literal dan tidak menghayati ilmu mukhtalaf al-hadith yang merupakan ilmu penting dalam memahami matan sesuatu hadis.

Ilmu tersebut membantu untuk menyelaraskan hadis-hadis yang pada zahirnya nampak bercanggah dengan teks al-Quran dan as-Sunnah.

Umpamanya apabila mereka membaca hadis:

“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya.”
(Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah, sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani).

Mereka mengambil hadis ini tanpa mempedulikan hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza.

Ini seperti hadis: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun.”
(Riwayat al-Tabarani, dinilai hasan).

Para sahabah bangun mengkritik al-Khulafa al-Rashidin dalam majlis-majlis mereka seperti Salman al-Farisi yang mempersoalkan Saidina ‘Umar al-Khattab semasa beliau berucap.

Sepatutnya perbezaan hadis-hadis ini diselaraskan dengan merujuk kepada kes yang berbeza. Isu dosa peribadi pemimpin hendaklah dibicarakan secara tertutup.

Adapun yang membabitkan kepentingan awam maka rakyat yang terbabit boleh membahaskannya sekalipun terbuka.

Sejarah perdebatan dalam Islam

Begitu juga apabila timbul trend politik kita yang banyak mengadakan debat isu rakyat secara terbuka. Ramai juga pihak kerajaan dan pembangkang yang terbabit.

Apabila ada pemimpin atasan yang menyatakan debat bukan budaya kita, mereka pun mengeluarkan sabda Nabi SAW:

“Aku menjamin sebuah rumah dalam syurga bagi mereka yang meninggalkan debat mesti pun dia berada di pihak yang benar.” (Riwayat Daud).

Ini bagi menyokong kenyataan pemimpin atasan.

Mereka tidak mengambil kira bahawa al-Quran menyebut: “Berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.”
(Surah al-Nahl: 125)

Dan juga dalam al-Quran ada Surah al-Mujadilah (wanita yang berdebat). Perkataan yang digunakan dalam hadis ialah al-mira’ yang boleh diertikan sebagai al-jidal (debat).

Dalam Islam terlalu banyak sejarah perdebatan ilmu yang menyebabkan ilmu berkembang. Debat yang dilarang ialah debat yang sia-sia hasilnya, sekalipun benar.

Inilah yang disebut dalam kitab-kitab syarah hadis seperti Faidh al-Qadir oleh al-Imam al-Munawi, Tuhfah al-Ahwazi oleh al-Imam al-Mubarakfuri.

Jika hadis di atas difahami secara literal, tentu Parlimen kita lembab dan tidak berfungsi kerana semua ahlinya akan mengelakkan berbahas.

Bajet negara akan diterima bulat-bulat tanpa didebatkan kerana semua ingin mendapat rumah dalam syurga. Peguam dan pendakwa juga tidak ada berdebat di mahkamah.

Sepatutnya mereka kena sebut hadis ini semasa setiap kali mesyuarat Umno hendak dimulakan. Tentulah semua ahli menelan bulat-bulat minit mesyuarat tanpa mempertikaikannya sedikit pun.

Fatwa literal

Dulu saya pernah kritik apabila mereka sering membaca hadis ini di khalayak ramai:

“Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunah bukan dengan sunahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan.

“Kata Huzaifah: Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?. Jawab baginda: Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini dibaca seakan rakyat dalam apa keadaan pun tidak boleh membantah kerajaan walaupun buruk mana sekalipun. Mereka lupa kerajaan dalam negara ini bukan sahaja Umno, ada juga kerajaan PAS dan PKR.

Hadis ini dibaca tanpa melihat kepada hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza.

Antaranya hadis (bermaksud): “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukuman-Nya”.
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai, dengan sanad yang sahih).

Dalam sejarah pemikiran fikah, tokoh aliran literalis yang paling terkemuka ialah al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 456H). Dia terkenal kerana kebijaksanaannya tetapi literal dalam memahami nas-nas syarak.

Banyak fatwa literalnya dikritik oleh para sarjana. Pun begitu, beliau apabila ditanya tentang hadis di atas, menjawab:

“Adapun apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW agar bersabar atas pengambilan harta dan pukulan di belakang, itu semua tanpa syak jika pemerintah menguruskan itu dengan cara yang sebenar, maka tidak syak wajib ke atas kita sabar… Adapun jika dengan cara yang batil maka berlindung dengan Allah untuk Rasulullah SAW menyuruh bersabar untuk itu.

“Dalilnya firman Allah: Tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.

“Kita tahu bahawa kalam Rasulullah tidak akan menyanggahi kalam Tuhannya… maka sah bahawa apa yang Rasulullah SAW sabda adalah wahyu dari sisi Allah azza wa jalla, tiada perbezaan, tiada percanggahan dan pertentangan.

“Jika demikian maka sesuatu yang yakin tanpa syak yang diketahui oleh setiap Muslim bahawa mengambil harta Muslim ataupun zimmi tanpa cara yang sebenar dan memukul belakangnya tanpa kesalahan yang sebenar adalah dosa, permusuhan dan haram.

“Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari).

“Maka tiada syak dan perbezaan pendapat kalangan Muslimin bahawa orang yang menyerahkan hartanya untuk perampas secara zalim, memberikan belakangnya untuk dipukul secara zalim sedangkan dia mampu untuk menghalang hal itu dengan apa cara yang mungkin, maka itu adalah pertolongan kepada orang yang menzaliminya atas dosa dan permusuhan, dan ini haram dengan nas al-Quran….”
(Ibn Hazm, Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 4/133. Kaherah: Maktabah al-Khaniji)

Jika pemerintah itu dibiarkan untuk memukul dan mengambil harta tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan yang diperintah oleh Islam untuk diwujudkan? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama?

Maha suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu!

Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan Muslim seperti yang disebut oleh Nabi SAW:

"Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah).”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nabi SAW juga menyebut: “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pemikiran agama yang literal seperti ini sebenarnya boleh merosakkan maksud dan imej agama itu sendiri jika dipegang oleh mereka yang berkuasa. Saya tidak mahu campur dengan urusan kepartian Umno ataupun PAS.

Namun apabila membabitkan urusan agama, saya hanya ingin memberikan pandangan bahawa pemikiran ini dalam kerangka keseluruhan ‘memeningkan’ negara dan Umno itu sendiri

Tahniah Dr Asri.... Pandangan anda amat bernas.. Sokong 101%

Politik kita memang caca marba

  • Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  • 11:20AM Sep 7 2012
Nampak kebelakangan ini, perbezaan politik bukan lagi membawa kepada pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan pentadbiran yang lebih baik, tetapi pertarungan siasah di negara ini telah menyuburkan akhlak yang buruk dan kehilangan adab sopan.

Ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang baling kasut ke dalam masjid, tarian punggung dan pelbagai lagi.

Para pemimpin politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka.

Disiplin

Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala adab dan kesopanan hanya kerana politik.

Insan itu walau apapun kelemahan peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan yang diwarisi sama ada dari agama ataupun budaya.

Bahkan dalam Islam, dalam medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi.

Dalam hadis apabila Rasulullah SAW mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda:

"Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat". (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: "Sanad hadith ini hasan.")

Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikan ikutan.

Justeru, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara nilai peradaban yang diajar oleh Islam.

Lihatlah apa yang Allah tegaskan kepada orang Islam yang berperang dengan musuh-musuh yang menyerang dan ingin membunuh mereka.

Maksudnya: "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas."(Surah al-Baqarah ayat 190).

Apakah politik ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak berlebih-lebih dalam perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi SAW bersabda:

"Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar' dan tidak beradab itu hari ini mereka biadap dengan musuh politik mereka, esok kebiadapan itu akan dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini.

Dalil agama ikut kehendak parti
Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan dengan keburukan.

Jika kita berikan nasihat "mengapa awak londeh seluar kepada gambar pemimpin tertentu" maka akan ada yang menjawab "mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat".

Demikianlah puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama keburukan lawan mereka.

Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing mendakwa mereka lebih baik dari lawan mereka.

Malangnya, apabila tiba masalah budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan ataupun lebih teruk.

Itu belum lagi datang "geng agama" parti masing-masing yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan penyokong masing-masing.

Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan, tetapi kehendak parti!

Ustaz muda

Apatah lagi jika ada pula ulama atau ustaz muda mana-mana parti yang baru kenal politik sehari dua, dan mungkin ghairah hendak menjadi calon maka segala dalil dibawa, segala sirah Salafussoleh dibaca seakan-akan yang dipertahankan itu Abu Bakar al-Siddiq dan Umar al-Khattab.

Dalil-dalil agama dipermainkan untuk kepentingan politik masing-masing. Apa yang terkena pada orang lain dibaca secara terang, yang terkena diri sendiri ditakwil dengan sejuta penafsiran.

Jika parti lawan berkumpul untuk bantahan maka mereka namakan tunjuk perasaan dan dihukum haram. Kononnya, bukan amalan salafussoleh.

Jika geng parti sendiri berkumpul dinamakan menyuarakan pendirian, hukumnya halal. Dimasukkan dalam amar makruf dan nahi mungkar.

Maka perhimpunan di Kuala Lumpur oleh parti lawan sibuk diharamkan dengan segala fatwa, tetapi di Jeli dan Gua Musang oleh parti sendiri didiamkan.

Jika pemimpin kerajaan parti lain yang buat silap, ditegur dalam media dan ditulis surat terbuka.

Namun jika pemimpin kerajaan parti sendiri buat salah, difatwakan haram bercakap kesalahan pemimpin di khalayak ramai, kena berbisik di telinga mereka.

Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama'.

Maka tidak pelik jika Allah menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman Allah:

"Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat.

"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Surah al-A'raaf: 175-176)

Fatwa artis
Di celahan itu yang menarik hari ini artis-artis yang baru masuk politik sehari dua pun seakan sudah menjadi ‘sarjana Islam'. Mula mengeluarkan hukum ke atas orang lain. Sambutannya hebat.

Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan penampilan' yang memikat penganjur. Jika ‘ustaz' dibayar seratus dua, tetapi artis yang bercakap Islam dibayar beberapa ribu ringgit satu ceramah.

Namun jika artis lelaki, ataupun artis wanita yang ‘kurang comel', tidaklah seberapa sambutan dan bayarannya.

Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para sarjana Islam, bab politik islami bukan mudah untuk dihuraikan. Politik memerlukan kefahaman tentang maslahah dan maqasid syarak.

Suatu ilmu yang memerlukan banyak latar pengetahuan yang baik. Namun, jika artis masuk parti politik, segala kesarjanaan itu seakan diberikan kepadanya. Ini memang tanda-tanda akhir zaman.

"Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal -dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu 'al-Ruwaibidoh'.

Para sahabat bertanya: "Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW: "Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)."

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya'la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Bukan salah artis berceramah dan berkongsi pengalaman. Mereka yang berubah memang dialu-alukan. Namun setiap orang kena tahu kadar pengetahuannya mengenai apa yang dia perkatakan. Jangan cepat simpulkan hukum sedangkan anda bukan ahlinya.

Apa pun, politik kita memang ajaib. ‘Macam-macam ada' dan semua boleh. Dulu ada orang cakap, asal barang jadi duit, kita ambil. Hari ini, asal barang jadi politik, kita angkut!

Apa Fatwa Abdullah Samaah??? Kafir Harbi atau tak berapa harbi??????

Saya menentang keras undang-undang hudud:Pengerusi MCA Kedah


Alor Setar:"Selama ini, saya mengeluarkan begitu banyak kenyataan bahawa kami menentang pelaksanaan undang-undang hudud di Kedah.

"Saya menentang keras undang-undang hudud dan saya mengikuti pendirian Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek - iaitu menentang undang-undang hudud," katanya.

"Kami tidak pernah menyentuh tentang hudud, tidak dibangkit. Saya amat kecewa dengan laporan mereka," katanya ketika dihubungi Utaranews.

Chong mendakwa, dalam temubual telefon dengan harian berbahasa Melayu tersebut, isu mengenai undang-undang hudud tidak dibangkitkan langsung ini sebagai satu salah faham yang amat serius.


Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew menafikan laporan akhbar Sinar Harian yang memetiknya sebagai beliau menyokong undang-undang hudud.


Chong berkata beliau hanya memberi respon kepada cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya PAS bergabung dengan Umno di bawah BN.


Katanya, kenyataan beliau sangat jelas, iaitu mana-mana parti politik yang mahu menyertai BN memerlukan kelulusan kepimpinan tertinggi BN dan mereka mesti mematuhi perlembagaan BN dan semua kriteria yang ditetapkan oleh BN.

Beliau mengulangi bahawa partinya, termasuk di Kedah, menentang keras undang-undang hudud.

Puasa 6


Mutiara Tok Guru


Kefahaman bukan alasan tangguh hudud

Nik Abdul Aziz Nik Mat, 24 Ogs 2012



Sukacita saya merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian (23 & 24 Ogos 2012) yang membicarakan persoalan hudud, terutamanya apa yang dibangkit oleh seorang ahli parlimen PAS dan seorang lagi mantan mufti.

Bagi saya tidak ada asas hukum dan keperluan atas dasar logik untuk melengah-lengah pelaksanaan kerana hudud adalah sebahagian daripada perundangan syariah yang diwajibkan dalam Islam. Ini kerana tidak ada hukum atau undang-undang di dunia ini, sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dulu, baru dilaksanakan.

Atas kerana itu, apa sahaja undang-undang di Malaysia, ia dibuat dan dilaksanakan tanpa menunggu semua pihak faham atau setuju. Termasuklah pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri pun yang menguatkuasakan pembentukan negara Israel di bumi Palestine yang ditentang hebat oleh orang Palestine sendiri. Hatta Presiden Amerika, Barrack Obama sendiri turut bersetuju dengan perundangan ‘kahwin sejenis’ meskipun majoriti masyarakat dunia menolaknya.

Secara faktanya, persoalan sesuatu hukum boleh dilaksana setelah ada kefahaman dan persetujuan semua pihak, ia sesuatu yang tidak tepat dalam kaedah perundangan yang ingin mengawal dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan. Tambahan lagi, soal hukum Islam (hudud) bukannya pilihan untuk menusia menolak atau menerima. Tugas pihak berkuasa atas nama Islam adalah kewajipan dan tanggungjawab. Jadi keperluan kepada suasana kondusif bukanlah penghalang ke arah pelaksanaan hukum Allah. Atas dasar ini, pada masa Nabi Muhammad SAW sendiri umat Islam tidak mempersoalkan kewajaran perintah (hukum) Allah SWT.

Apa yang utama membuktikan ketaatan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi. Bukan sepertimana sesetengah pihak sekarang ini, ada yang sanggup rosak akidahnya atas dasar menolak mentah-mentah hudud atau mana-mana perintah Allah SWT. Tidak kurang pula berdolak dalih dan beralasan kononnya suasana belum kondusif untuk memakai hukum Allah SWT. Tidak terkecuali juga, masih ada pihak yang bersimpati kepada si-jahil, maka isu hukum hudud ini perlu dibincangkan terlebih dulu. Sampai bila? Lepas bincang, bincang dan bincang, namun si-jahil tetap beralasan.

Pengalaman Negeri Kelantan dalam usaha melaksana hukum hudud ini, sebenarnya telah melalui proses memperkenal, membincang dan meluluskannya secara masak. Usia enakmen kanun jenayah syariah (termasuk hudud) kini akan genap 19 tahun pada November ini. Sejarah penggubalannya cukup matang kerana ia merupakan sumbangan cendikiawan perundangan Islam Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Dato’ Daud Muhammad. Selain ia turut dikongsi dengan pakar-pakar perundangan bidang syarie dan jenayah sivil. Malah tidak terkecuali poses menerima maklum balas dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk badan NGO turut dibuat di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Turut serta adalah Tengku Razaleigh Hamzah selaku presiden parti Semangat 46 ketika itu telah juga menganjurkan perbincangan terbuka sebagai melebar kefahaman dan tanda sokongan serta persetujuan atas usaha Negeri Kelantan. Justeru pada persidangan dewan negeri, semua ahli dewan termasuk daripada Umno turut menyokong.

Namun selepas itu, permohonan ke arah pelaksanaannya telah ditolak oleh Kerajaan Pusat. Kini berbangkit isunya, pelaksanaannya masih tertangguh meskipun telah diluluskan sejak November 1993 lagi. Bagi Kelantan, ia tertangguh bukan kerana usaha dan keperluannya masih tidak memenuhi suasana yang kondusif. Sebaliknya ia tertangguh disebabkan halangan Kerajaan Pusat, termasuk ‘amaran’ menerusi satu surat rasmi perdana menteri ketika itu yang masih tidak ditarik balik.

Justeru persoalan yang ada di depan umat Islam hari ini, adakah ingin terus meraikan suara bangkangan seumpama suara daripada sesetengah pemimpin bukan Islam? Ataukah kita ingin terus meraikan pihak si-jahil yang sentiasa beralasan atas kefahamannya yang tidak bersandarkan nilai-nilai keimanan? Sampai bilakah segala alasan tanpa keimanan dan hujah akal sentiasa dijadikan alasan untuk menidakkan penerimaaan dan pelaksanaan hukum Allah SWT ini? Apa yang pasti, hukum Allah SWT tetap serasi dengan hukum alam dan makhluk ciptaan-Nya. Kalaulah menunggu alunan ombak reda, sampai bila nelayan akan dapat ke laut? Ketika laut berombak itulah, nelayan boleh meluncur perahunya ke laut bagi menangkap ikan.

Wahai Abdullah Samaah : Kena cermat bila berkata-kata

'Kafir harbi' umpama lampu hijau untuk membunuh

Maszlee Malik 2:48PM Ogos 12 2012

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Abdullah Samaah yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia berkaitan haram menyokong DAP kerana mereka merupakan kafir harbi. Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di zaman dahulu dengan negara musuh. Kafir harbi adalah merujuk kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka adalah halal ditumpahkan kerana ianya di dalam suasana perang, di mana kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam. Kafir harbi adalah wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan. Di zaman ini, warga atau rakyat bukan Islam yang tinggal bersama umat Islam tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklafikasian harbi atau dhimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama moden, memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan bukan Islam.
Abdullah Sama'ah Pengkelasan Abdullah Sama'ah bahawa DAP adalah kafir Harbi adalah tidak tepat sama sekali, malah membahayakan. Beliau seolah-olah memberikan lampu hijau untuk umat Islam memerangi parti DAP dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya. Bahkan di dalam DAP terdapat juga di kalangan pemimpin dan juga ahli mereka yang Muslim. 'Fatwa' Abdullah yang direstui oleh Utusan itu juga memberikan konotasi bahawa umat Islam di Malaysia sekarang hidup dalam suasana peperangan dan permusuhan dengan rakyat bukan Islam. 'Fatwa' liar dan membahayakan seperti ini perlu dibendung. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berani menegur beliau dan juga Utusan kerana mencetuskan provokasi yang berkemungkinan akan membuka jalan bagi para ekstrimis bangsa dan golongan subversif untuk menumpahkan darah ahli-ahli DAP. Saya menggesa agar pihak keselamatan segera menahan Abdullah dan membuat siasatan terhadap kenyataannya yang berbau ekstrimisme dan boleh menyemarakkan api perkauman sekaligus menggerakkan para penggganas di atas nama Islam untuk bangkit melancarkan jihad membunuh ahli-ahli DAP. Sudah tentu kita tidak mahukan pertumpahan darah berlaku di antara kaum di Malaysia. Tindakan perlu diambil ke atas Abdullah. Pihak media, terutamanya Utusan Malaysia sepatutnya lebih peka dengan laporan mereka. Mereka hendaklah tidak menjadi agen kekacauan dan ketegangan kaum, sebaliknya sepatutnya menjadi agen keharmonian dan perpaduan kaum. Mengeluarkan tajuk berita utama di muka hadapan seperti yang telah berlaku hanya akan membuka ruang kepada pelampau perkauman untuk menghalalkan darah ahli-ahli DAP di atas nama jihad. Ini perlu dielakkan demi menjaga kesejahteraan negara Malaysia yang kita cintai bersama.

Baru ada gayer

Macam ni ler baru dikatakan ustaz ada gaya, stylo dan macho..heheee

Kat bawah ni, macam stail ustaz kampung ler, tak pandai nak sesuaikan diri perubahan masa dan citarasa anak muda... (konon-kononya ler..hehee)
Soalnya, sape yang patut ikut sape?

Solat Full Time @ Over Time

Hamba Allah Ini Tiba Tanpa Dibentangkan Permaidani Kuning

Bicara buat seorang sultan kekasih rakyat, berangkat hadir solat Isyak bersama rakyat, memandu sendiri Mercedes tertera ' V محمد ' tanpa dibentang permaidani kuning, hanya ber-Croc memakai sendiri. Berjubah Berkopiah sederhana mungkin, Itulah Sultan yang mengajak rakyat takutkan Allah. Daulat Tuanku kepada الله أكبر Muhammad V, Sultan untuk umat Islam Malaysia. Allahuakbar Tuanku.

Tahniah...Anda memang hebat..

Patik berbangga menjadi rakyat Tuanku




Seorang Sultan yang beriman, zuhud, merendah diri, dan menghormati alim ulama...Apa yang lebih membanggakan, baginda mampu menjadi imam solat bagi rakyat jelata. Baginda juga telah menukarkan kalimah "DAULAT TUANKU" kepada "ALLAHU AKBAR". Rakyat Kelantan bangga mendapat Sultan yang berjiwa Islam. Semoga Allah memanjangkan usia baginda dan memberi kebahagiaan kepada baginda dunia akhirat..

10 Negara Rakyatnya Paling Educated


Pendidikan amat penting bagi sesebuah negara. Bamaimana kalau kita mengetahui 10 negara yang paling berpendidikan di seluruh dunia. Berikut adalah senarai 10 negara yang diiktiraf mempunyai rakyat paling berpendidikan di seluruh dunia. Laporan oleh OECD-Organisation for Economic Co-operation and Development, “Better Policies For Better Lives”.

1. Kanada
Separuh atau 50% warga Kanada berkelulusan universiti. Satu rekod yang sangat tinggi berbanding Malaysia yang hanya 15% berkelulusan universiti. Bahasa pengantar utama pendidikan di Kanada adalah Bahasa Inggeris dan Perancis. Wilayah Quebec dan New Brunswick menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa ilmu dari peringkat tadika hingga universiti.

2. Israel
Israel negara ‘Facebook’ dengan 45% warganya berkelulusan universiti. Bahasa pengantar utama adalah bahasa Hebrew. Pelajar juga diwajibkan lulus bahasa Inggeris dan Arab.

3. Jepun
Sekitar 44% warga Jepun berkelulusan universiti dan Jepun begitu menghormati bahasanya. Jepun hanya menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar dari peringkat tadika hingga ke universiti. Namun pelajar digalakkan belajar bahasa asing seperti Korea, Cina, Inggeris, Jerman dan Russia.

4. Amerika Syarikat
Seramai 41% warga Amerika berkelulusan universiti. Bahasa pengantar utama adalah bahasa Inggeris. Namun ada sekolah di Amerika khususnya di negeri selatan seperti New Mexico, Florida, Arizona dan Texas menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa pengantar.

5. New Zealand
Lebih 40% warga New Zealand berkelulusan universiti. Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar utama.

6. Korea Selatan
Negara kereta Hyundai dan KIA ini memiliki 39% warganya berpendidikan universiti. Sepert juga Jepun, Korea Selatan hanya menggunakan bahasa Korea sebagai bahasa pengantar utama di sekolah hingga ke universiti. Pelajar digalakkan menguasai bahasa asing seperti Inggeris, Cina, Russia, Jepun dan sebagainya.

7. Norway
Lebih 37% warga Norway berpendidikan tinggi. Norway juga menggunakan bahasa Norway sebagai bahasa pengantar tunggal di sekolah hingga universiti. Pelajar diwajibkan lulus sekurang-kurangnya satu bahasa asing.

8. United Kingdom
United Kingdom dengan 37% warganya berpendidikan tinggi. Bahasa utama semestinya bahasa Inggeris. Di Scotland dan Wales, ada usaha menjadikan bahasa Scottish dan Welsh sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan universiti terutama selepas Scotland dan Wales mendapat kuasa autonomi ekoran daripada “Devolution of British Parliament”.

9. Australia
Benua terkecil Australia dengan 37% warganya berpendidikan tinggi dan bahasa utama adalah bahasa Inggeris. Australia juga dipuji kerana pada masa sekarang Australia adalah negara yang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa.

10. Finland
Lebih 37% warga Finland berpendidikan universiti dan negara Finland hanya menggunakan bahasa Finland sebagai bahasa pengantar utama di sekolah hingga universiti.