Akhirnya Jamil Khir bersuara

Penganjur konsert MLTR digesa peka sensitiviti umat Islam



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Penganjur Konsert Michael Learns to Rock (MLTR) digesa mengambil kira sensitiviti umat Islam sebelum membuat keputusan untuk meneruskan konsert tersebut pada 5 September ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, konsert itu diadakan dalam bulan Ramadan iaitu bulan suci umat Islam yang mana pada siangnya mereka menjalani ibadah puasa dan di sebelah malam pula bertarawih serta bertadarus.

''Gesaan saya itu selaras dengan semangat 1Malaysia demi perpaduan dan kesejahteraan semua pihak,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi berkaitan konsert kumpulan itu yang akan diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands pada Sabtu ini.

Sementara itu, pada 24 Ogos lalu, Dewan Pemuda Pas turut menggesa kerajaan mengharamkan konsert itu yang disifatkan sebagai penghinaan besar kepada negara Malaysia dan umat Islam yang sedang menyambut bulan Ramadan.

Malaysia antara negara pilihan kumpulan itu dalam konsert jelajah yang diberi nama Michael Learns To Rock (MLTR) Eternity Tour 2009 Live In Malaysia.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm

0 Pandangan: