Dipetik dari http://g-82.blogspot.com
Apabila terbentuk kerajaan, banyak perkara yang perlu difikirkan. Sebagai orang islam yang memegang sesuatu tampuk pemerintahan kerajaan, hak yang hendak diberikan tidak sekadar diberikan kepada muslim sahaja, malah kepada non muslim juga wajib diberi.
Dalam islam, memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja adalah tuntutan agama. Bermakna, jika melakukan kezaliman, ia merupakan satu dosa yang besar, hatta terhadap non Muslim sekalipun.
Firman Allah;
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya;
”Allah tidak melarang kamu melakukan kebaikan dan keadilan terhadap mereka yang tidak menyerang kamu pada agama dan tidak mengeluarkan kamu daripada negara kamu. Sesungguhnya Allah suka orang yang melakukan keadilan”
(Surah Al-Mumtahanah : 8)
Dari ayat ini, kita dapat melihat bagaimana Allah amat mementingkan keadilan yang perlu dilakukan terhadap sesiapa sahaja, waimma terhadap non Muslim.
RUMAH IBADAT
Antara hak keadilan yang diberikan oleh islam adalah, hak rakyat dari kalangan non Muslim beribadat. bermaksud, apabila non Muslim memohon untuk membina rumah ibadat mereka, sebagai kerajaan islam, permohonan mereka perlu dilayan.
Pun begitu, dalam memberikan layanan terhadap permohonan mereka terdapat beberapa perbahasan, iaitu seperti berikut;
Pertama : PENEMPATAN NON MUSLIM
Menurut Malikiyyah, dibenarkan mereka membina tempat peribadatan mereka, sekiranya di situ bukan penempatan orang islam.
Pendapat ini disokong oleh Imam Al-Kasani dalam kitabnya yang bertajuk “Badai As-Sanai” dan sebilangan lagi dikalangan ulama bermazhab hanafi.
Justeru, apabila non Muslim memohon sesuatu tapak yang hendak dijadikan rumah ibadat mereka. Tapak tersebut adalah penempatan non Muslim, maka pihak kerajaan hendaklah memberikan keizinan terhadap permohonan tersebut.
Tindakan tidak memberikan keizinan kepada mereka tanpa sebab-sebab yang munasabah merupakan tindakan yang zalim yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Kedua : PENEMPATAN ORANG ISLAM
Sekiranya didapati di suatu tempat itu adalah kawasan orang islam, tetapi didapati juga manoriti orang non muslim yang memohon untuk membina tempat ibadat mereka di situ. Dalam hal ini, Imam Ibnu Qasim yang bermazhab Maliki membenarkannya, tetapi bersyarat, iaitu hendaklah mendapat keizinan dari pihak pemerintah terlebih dahulu[1].
ZAHIRKAN SYIAR AGAMA
Apabila diberikan hak mereka membina rumah-rumah ibadat, maka lahir pula perbincangan, iaitu berkenaan dengan menzahirkan syiar agama mereka.
Ulama sepakat menyatakan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja syiar agama mereka dalam tempat ibadat mereka. Adapun di luar tempat ibadat, ulama berselisih dalam hal ini. Sebilangan ulama membenarkan mereka menzahirkan syiar mereka di luar tempat ibadat. Ulama yang membenarkan itu adalah Al-Kasani dengan katanya;
فِي الْقُرَى أَوْ فِي مَوْضِعٍ لَيْسَ مِنْ أَمْصَارِ الْمُسْلِمِينَ فَلَا يُمْنَعُونَ مِنْ إحْدَاثِ الْكَنَائِسِ وَالْبِيَعِ ، كَمَا لَا يُمْنَعُونَ مِنْ إظْهَارِ بَيْعِ الْخُمُورِ وَالْخَنَازِيرِ
Maksudnya;
“Dalam negeri atau tempat yang bukan tempat orang islam, tidak ditegah mewujudkan gereja dan Biya’ (gereja yahudi), sepertimana tidak ditegah menjual arak dan babi[2]”
Keizinan yang dinyatakan ini, sekiranya tempat itu adalah kawasan penempatan orang non muslim. Adapun pada penempatan orang islam, maka itu di larang. Ini ditegaskan oleh Al-Qurafi.
Dalam mengulas isu ini, Dr Abdul Karim Zaidan berpendapat, larangan ulama dengan menegah zimmi menzahirkan syiar agama mereka di luar gereja di penempatan orang islam adalah kerana hendak menjaga maslahat umum bagi negara Islam.
Maka dengan itulah, Ulama tidak pernah melarang mereka menzahirkan syiar agama mereka di penempatan yang terdiri dikalangan mereka sahaja.
Keadaan ini dilihat kepada kejadian yang berlaku pada zaman Khalid bin Al-Walid yang membenarkan Ahl ’Anat menzahirkan syiar agama mereka di penempatan mereka.
Dalam pada itu, Dandal Jabar, penulis kitab Al-Aqalliyat Ghair Al-Muslimah fi Mujtama’ Al-Islami menyatakan, pemerintah Islam boleh membenarkan kepada Ahl Zimmah menzahirkan syiar agama mereka di penempatan orang Islam dan selainnya, itupun hendaklah aman dan terselamat dari fitnah[3].
Hal ini diakui oleh kebanyakan ulama fiqh, yang mereka menyebut;
حريتهم فى اللباس و الطعام و الشراب بشرط عدم استثارة شعور المسلمين أو أشعارهم بالتحدي أو أن يكون ذلك مؤديا إلي الفتنة و الفساد
Maksudnya;
“Kebebasan mereka (non muslim) pada pakaian, makanan dan minuman dengan syarat tidak terkesan pada syiar orang islam, ataupun syiar mereka tidak mencabar syiar Islam atau kebebasan mereka itu tidak membawa kepada fitnah dan kebinasaan[4]”
ISYKAL
PERTAMA:
Pembinaan rumah ibadat di kawasan muslim merupakan tindakan yang tidak menghormati sensitiviti orang islam?
JAWAPAN
Jika dipegang betul-betul dengan ajaran islam, soal sensitiviti dalam isu rumah ibadat non Muslim dikawasan muslim tidak menjadi isu yang penting. Semua ini akan berjaya diselesaikan, jika berpegang dengan prinsip toleransi dan hormat menghormati yang sememangnya diajar dalam ajaran islam.
Ketika melakukan ibadat, pihak non Muslim pula perlu menghormati hak penduduk muslim. begitujuga pihak muslim perlu menghormati hak penganut-penganut agama lain ketika melakukan ibadat.
Justeru, bagi mengatasi masalah ini, sebelum pihak kerajaan memberi izin pembinaan rumah ibadat non Muslim dikawasan muslim, pihak kerajaan perlu meletakkan syarat-syarat yang ketat agar ia tidak melahirkan masalah di masa akan datang.
KEDUA:
Ditempat tersebut sudah terdapat banyak rumah-rumah ibadat yang mewakili agama masing-masing. Jika dilihat dari rumah ibadat yang ada, ia sudah memadai. Bagaimana pula jika diberi tambah lagi?
JAWAPAN
Keizinan pihak kerajaan membina rumah-rumah ibadat hendaklah dengan tujuan keperluan, bukanlah untuk berlebih-lebihan.
Sekiranya ada permohonan dari pihak non Muslim untuk membina sesuatu rumah ibadat mereka. Permohonan itu bukanlah satu keperluan, tetapi untuk penambahan lagi rumah-rumah ibadat, maka ketika itu, pihak kerajaan adalah dilarang sama sekali meluluskan permohonan tersebut.
Larangan ini, bukan sekadar terhadap permohonan non Muslim untuk pembinaan rumah-rumah ibadat mereka, malah permohonan untuk pembinaan masjid dan surau dengan tujuan berlebih-lebihan pun dilarang.
Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya;
”Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu haramkan perkara yang baik, yang Allah halalkan kepada kamu. Dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas”
(Surah Al-Maidah : 87)
Nabi SAW ada menyebut sebanyak tiga kali;
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ
Maksudnya;
”kebinasaan bagi orang yang berlebih-lebihan[5]”
PENUTUP
Islam tidak menafikan hak manusia. Menafikan hak merupakan tindakan zalim, sedangkan kezaliman adalah perkara yang ditentang hebat oleh Islam.
Justeru, lihatlah islam dari sudut keadilannya, bukan dilihat dari sudut sentimen dan persepsi golongan tertentu. Jika islam dilihat dari sudut persepsi atau sentimen manusia tertentu, sudah pasti islam tidak dapat dinilai sebagai adil di mata dan hati manusia.
Sekian
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com
Jejak Fakir Di Petra Jaya
7 tahun yang lalu
0 Pandangan:
Catat Ulasan